Pages

Sunday, September 30, 2012

Wasiat Wajibah - Membantu waris terhalang

ISKANDAR dan Noraziah (bukan nama sebenar ) mempunyai tiga anak lelaki. Mereka hidup dalam keadaan yang agak sederhana.

Ayah kepada Iskandar, Datuk Abdul Rahim (bukan nama sebenar) pula adalah seorang hartawan yang mempunyai banyak harta, baik dalam negara mahupun di luar negara.

Malang tidak berbau, dan ajal pula tidak mengenal masa, dengan tidak disangka-sangka Iskandar terlibat dalam satu kemalangan lalu meninggal dunia, maka tinggallah Noraziah dan anak-anaknya.

Harta pusaka yang ditinggalkan Iskandar pula tidaklah banyak kerana beliau belum pun menjangkau umur 30 tahun.

Selang setahun selepas kematian Iskandar, Datuk Abdul Rahim pula meninggal dunia.

Harta pusaka beliau bernilai lebih kurang RM 10 juta. Datuk Abdul Rahim meninggalkan seorang balu, dua anak lelaki dan tiga anak perempuan tidak termasuk Iskandar.

Isu ini kalau diperhatikan, sekiranya Iskandar masih hidup sebelum kematian Datuk Abdul Rahim, maka sudah tentu Iskandar akan dapat mewarisi harta Datuk Abdul Rahim mengikut sistem pembahagian faraid.

Namun demikian oleh kerana Iskandar telah pun meninggal dunia sebelum Datuk Abdul Rahim, dan anak-anak Iskandar terhalang daripada mendapat harta pusaka Datuk Abdul Rahim kerana Datuk Abdul Rahim meninggalkan anak-anak lelaki sebagai waris yang menjadi pendinding.

Sebelum kedatangan Islam, antara kaedah cara pembahagian harta pusaka ialah kepada kaum lelaki dewasa yang pergi berperang sahaja.

Justeru, anak-anak yang belum dewasa dan kaum wanita dihalang daripada mempusakai harta warisnya, kerana mereka tidak dapat melindungi dan memelihara kabilah atau keluarga mereka daripada ancaman musuh.

Islam datang memberikan hak mempusaka harta daripada kalangan lelaki dan wanita, tidak kira muda atau dewasa mengikut kadar yang ditentukan.

Secara asasnya yang perlu diketahui ialah ibu dan bapa berhak 1/6 seorang, isteri 1/8, nisbah anak lelaki dua bahagian daripada anak perempuan, seorang anak perempuan 1/2 sahaja daripada harta peninggalan, dua atau lebih anak perempuan hanya mendapat 2/3 sahaja.

Namun demikian, pengiraan ini hanyalah asas sahaja dan pengiraannya berlainan kalau tidak ada anak lelaki dan bapanya pula sudah meninggal dunia.

Perlu dijelaskan di sini, ialah pihak lelaki bertanggungjawab dari segi nafkah kepada kaum keluarga yang terdiri daripada isteri dan anak-anak, di samping memberi bantuan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, itulah antara hikmah diberikan nisbah dua bahagian

daripada wanita kerana wanita tidak dibebankan dengan sesuatu apa jua tanggungjawab seperti yang dinyatakan di atas.

HUKUM FARAID
Sumber hukum ilmu faraid terdapat di dalam beberapa ayat daripada surah an-Nisa. Ayat-ayat tersebut menerangkan secara terperinci mengenai cara membahagikan harta pusaka.

Sekiranya dikaji di dalam syariat Islam, tidak dijumpai hukum-hakam yang dihuraikan oleh al-Quran secara jelas dan terperinci, sebagaimana hukum pewarisan ini. Begitulah tingginya hukum ini sehingga ia diterangkan secara khusus, terang dan jelas.

Sebab-sebab turunnya ayat mawaris (ayat 11, 12 dan 176 daripada surah an Nisa), ialah sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadis bahawa isteri kepada Saad bin ar Rabi'e telah mengadu kepada Rasulullah bahawa suaminya telah meninggal dunia dalam peperangan Uhud, suaminya pula meninggalkan seorang isteri, dua orang anak perempuan dan seorang saudara lelaki, saudara Saad telah mengambil kesemua harta yang ditinggalkan oleh Saad, lalu baginda s.a.w. menyatakan bahawa Allah s.w.t. akan menghukumkan perkara tersebut.

Tidak lama selepas itu turunlah ayat-ayat mawaris. Lalu Rasulullah memutuskan bahawa isteri Saad berhak mendapat 1/8 harta, anak perempuannya mendapat 2/3 dan saudara lelakinya mendapat baki daripada harta yang ditinggalkan itu.

WARIS-WARIS TERHALANG
Yang dimaksudkan dengan waris terhalang di sini, ialah mereka yang tidak dapat mempusakai harta kerana sebab-sebab tertentu.

Skop perbincangan waris terhalang adalah amat luas. Antaranya jika seseorang membunuh bapanya, maka anaknya tidak boleh menerima harta pusaka bapanya. Begitulah juga sekiranya salah satu pihak telah murtad (terkeluar daripada Islam) ataupun salah satu pihak masih belum Islam dan sebagainya.

Jika diperhatikan di dalam kes yang dipaparkan di atas, cucu Datuk Abdul Rahim terhalang daripada mempusakai hartanya kerana terdapat saudara bapanya ( saudara lelaki kandung Iskandar ) yang masih hidup.

Secara ringkasnya sifat-sifat waris terhalang ini kerana adanya waris yang paling berhak, sebagaimana yang dibincangkan di atas.

Namun begitu, di negara-negara Islam seperti Mesir, Syria, Pakistan dan lain-lain negara Islam lain, memberikan peruntukan satu undang-undang mengenai pemberian harta pusaka kepada waris terhalang ini.

Peruntukan tersebut hanya kepada cucu sahaja, walaupun terhalang sebagaimana yang diterangkan di atas, dan ia dinamakan sebagai Wasiat Wajibah.

Justeru, cucu-cucu yang terhalang daripada pusaka datuknya, sekarang bolehlah membuat tuntutan kerana haknya telah pun termaktub di dalam undang-undang Islam, khususnya di Malaysia.

Di Malaysia, Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor telah memperuntukkan Wasiat Wajibah ini.

PEMBAHAGIAN WAJIB KEPADA WARIS TERHALANG
Di Malaysia, Wasiat Wajibah terdapat dalam peruntukan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor ) 1999 yang menyatakan bahawa sekiranya seseorang datuk mati tanpa membuat sebarang wasiat kepada cucu daripada anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu daripadanya atau mati serentak dengannya, maka cucunya berhak terhadap satu pertiga hartanya.

Sekiranya cucunya tersebut diberi dengan kadar yang kurang daripada satu pertiga pula, maka haknya hendaklah disempurnakan mengikut kadar Wasiat Wajibah yang diperuntukkan.

Kadar yang di tetapkan untuk cucu ialah tidak lebih daripada 1/3 harta, sebagaimana wasiat kepada bukan waris.

Walau bagaimanapun jika hak pembahagian pusaka kepada anak lelaki (yang meninggal) adalah kurang dari 1/3, maka hak cucu hanyalah terhad kepada bahagian tersebut.

Wasiat Wajibah, walaupun tidak dijelaskan di dalam al-Quran ataupun hadis, namun ia diharuskan berdasarkan kepada kepentingan ahli waris seperti cucu yang ditinggalkan.

Di samping itu lagi para ulama mentafsirkan ayat 180 surah al-Baqarah adalah menjelaskan kewajipan meninggalkan wasiat kepada kaum kerabat yang tidak berhak menerima pusaka. Manakala ayat 11, 12 dan ayat 176 surah an-Nisa pula menerangkan secara terperinci ahli waris yang menerima pusaka.

Ia mengambil konsep keadilan yang terdapat dalam sistem wasiyyah yang memang pada asasnya bertujuan membawa kebaikan kepada mereka yang memerlukannya.

PERBEZAAN WAJIBAH DENGAN WASIAT BIASA
Wasiat Wajibah ialah suatu wasiat wajib yang diberikan kepada waris yang terhalang daripada mempusakai harta atas sebab-sebab tertentu, ia amat berbeza daripada wasiat yang ditakrifkan dalam bab wasiat.

Ia juga tidak perlu kepada lafaz ijab

(pemberian) daripada pewasiat dan juga lafaz qabul (penerimaan) daripada penerima wasiat. Ia boleh diibaratkan berlaku secara automatik setelah diberikan peruntukan oleh undang-undang.

Oleh yang demikian, seperti kes di atas konsep Wasiat Wajibah boleh dipakai.

Matlamat utama perancangan harta pusaka ialah untuk menentukan supaya ia ditadbirkan secara professional dan diagihkan mengikut hukum faraid dalam tempoh secepat mungkin selepas kematian, di samping mengelakkan persengketaan keluarga.

Setelah memperhatikan kes yang berlaku sebagaimana di atas, sebagai penyelesaian konflik yang dinyatakan di atas ialah sekiranya Datuk Abdul Rahim menyedari cucunya akan terhalang daripada mempusakai hartanya setelah ketiadaan beliau kerana mempunyai anak lelaki.

Sepatutnya beliau merancang untuk membuat satu dokumen perancangan pusaka, iaitu dengan menulis Surat Wasiyyah (wasiat iqrar pemberian selepas mati ), hibah dan sebagainya.

Justeru, sudah tentu tiada pertikaian ataupun kezaliman yang berlaku dan nasib cucunya akan terbela.

Namun demikian, adalah dicadangkan supaya Surat Wisoyah (wasiat pentadbiran pusaka) juga dibuat agar wasi ( pemegang amanah) dilantik untuk melaksanakan Surat Wasiyyah yang telah dibuat untuk waris terhalang selepas kematian.

Harta manusia walau sebanyak mana dikumpulkan, sudah pastinya akan ditinggalkan kelak. Kubur pula merupakan tempat persinggahan untuk menuju ke alam akhirat.

Sebelum nyawa kita diambil oleh Allah s.w.t., seharusnya kita membuat penyelesaian harta agar kita mendapat ketenangan kerana tiada perbalahan di kalangan ahli waris yang ditinggalkan, seterusnya hak-hak mereka terbela.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan permasalahan, sila hubungi syarikat ZAR Perunding Pusaka Sdn. Bhd. 49-1, Wisma Aziz Hassan, Jalan 2/27F, Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju ( KLSC ) 53300 Kuala Lumpur. Nombor telefon: 03 4149 1115. Faks 03 4142 4962 (Ustaz Mohd Asri Ghazali).

Sumber: http://www.utusan.com.my/


No comments:

Post a Comment

Visitors Map

Visitors Map

Total Pageviews

Star


c